10 September 2009

JANGAN JADIKAN KUBUR PENEBUS RASA BERSALAH

DARI EMAIL SEORANG SAHABAT AKU
بسم الله الرحمن الرحيم







السلام عليكم
 
Abah berwasiat supaya kubur abah dan mak jangan dijadikan mangsa "penebus rasa bersalah" anak-anak.
Maksudnya begini:
Semasa ibu dan bapa masih hidup, anak-anak mengabaikan tanggungjawab mereka atas pelbagai alasan (sila rujuk kitab-kitab muktabar tentang tanggungjawab anak terhadap ibubapa) - alasan sibuk dengan urusan dunia yang tak akan habis sampai bila-bila, sibuk dengan urusan anak, isteri/suami masing-masing, sibuk dengan itu dan ini, hingga lah "tiba-tiba" salah seorang atau kedua-dua ibubapa mereka diperintah Allah untuk kembali kepadaNya..... (sebenarnya tak ade kematian yang mengejut atau tiba-tiba - setiap kematian itu telah dirancang Allah lama sebelum manusia itu dijadikanNya.... "tiba-tiba" itu hanya "tuduhan" manusia kerana bukankah kita rasa seronok hidup! Malahan pujangga dengan angkuhnya mendeklamasikan "aku mahu hidup 1,000 tahun lagi!)...
Dalam kesedihan kerana kematian mereka, timbul lah rasa bersalah si anak kerana telah mengabaikan mereka semasa hayat, maka dilakukanlah perkara-perkara seperti berikut:

1. upah orang bacakan Al Quran 40 hari, 40 malam (anak tidak pulak membacanya kerana maklum lah sibuk belaka....)

2. upah orang bina kubur yang tercantik dan terhebat ("mak/abah memang patut diberi penghargaan ini kerana jasa mereka kepada aku"...)

3. tabur berbagai-bagai bunga atas kubur ("aku sayangkan mak/abah"... walhal semasa hidup mereka, sekuntum bunga pun tidak pernah dihadiahkan!)

4. cetak kitab Yaasin (siap tulis kat kulit depan "sempena kematian ibu/bapaku tersayang....") dan edarkan kepada masjid - macamlah surau dan masjid tak cukup-cukup kitab Yaasin

5. buat kenduri panggil "orang masjid" bacakan doa tahlil (maklum lah, anak tak sempat mendoakan ibubapanya. lagi pun "doa orang masjid ni lebih berkat"....)

6. buat pelbagai kenduri "hari peringatan ke-3, ke-7, tahun ke-47....." kematian ibubapa

7. sedekah pisang kat masjid......

8.. buat upah umrah setiap tahun (walhal dulu semasa hayat mereka, langsung "takde bajet nak hantar mak/abah gi umrah"; lagi pun keperluan umrah itu hanya sekali sepanjang hayat sahaja!)

Selepas itu boleh lah si anak tidur lena dan sempat pula membidas adik beradik lain dengan berkata, "aku dah tunaikan tanggungjawab aku pada bapak/mak. Kau tak buat ke?"
Abah panggil semua ini sebagai "sindrom penebus rasa bersalah"- kerana "dulu aku tak buat semua itu, maka sekarang aku dah buat semua ini, jadi aku tak bersalah lagi!".....
Kalau inilah yang bakal terjadi kepada abah dan mak, maka abah berwasiat di sini, TAK PAYAH LAH anak-anak abah bersusah payah membuat pelbagai justifikasi dengan sindrom penebus rasa bersalah..... memadai lah diselitkan satu ayat yang tak sampai satu nafas nak menyebutnya - "Ya Allah, ampunkan lah ibu bapa ku". Takde belanja wang ringgit, tak payah cari orang, tak payah susahkan diri.

Sempurnakan solat (wajib untuk penebus diri sendiri masing-masing) dan doa lah meminta apa-apa dari Allah (untuk mendapat penebus diri sendiri masing-masing) dan selitkan lah ayat di atas(sebagai penebus diri sendiri dan untuk keselamatan ibubapa di alam barzah dan alam akhirat).

Abah doakan apa-apa amal jariah yang abah dan mak lakukan dan apa-apa ilmu bermanfaat yang abah dan mak ajarkan kepada sesiapa pun dan diamalkannya - agar semua ini diterima Allah sebagi pelaburan kami di akhirat. Semoga semua anak-anak yang lahir dari sulbi kami menyempurnakan janji-janji mereka kepada Allah untuk menjadi hamba-hambaNya yang beramal soleh. Itu lah 3 harta yang akan mengiringi kami ke kubur dan tinggal kekal menemani kami sehingga kiamat........

Ambil iktibar dari lampiran di bawah.

Larangan dari Rasulullah shallallaahu 'alaihi wa sallam: Dari Jabir radhiyallahu 'anhu, dia berkata, "Rasulullah shallallaahu 'alaihi wa sallam telah melarang kuburan dikapur (di simen), dijadikan tempat duduk, dan juga didirikan bangunan diatasnya.."

(Hadith Riwayat Imam Muslim)

Dan membawa bunga-bungaan / jambak-jambak bunga dan seumpamanya bersama jenazah adalah diharamkan yang telah menular di kalangan orang-orang Islam
kerana mengikuti adat-adat orang kafir dan Melayu kunoh dalam upacara-upacara jenazah mereka. Juga kerana perbuatan tersebut boleh mensia-siakan harta tanpa faedah dan memberi makna bermegah-megah dan berbangga.
Manakala hukumnya adalah haram jika kubur dibina menggunakan marmar (marble) dan seumpamanya, kerana amat berlawanan dengan ajaran Rasulullah shallallaahu 'alaihi wa sallam, juga kerana terdapat pembaziran harta yang
ditegah syarak serta terdapat sifat bermegah dan menunjuk yang amat
dimurkai Allah subhanahuwata'ala.

Ali bin Abi Talib radhiyallahu 'anhu berkata kepada Abi Hayyaj Al-Asadi,

"Tidakkah kamu mahu aku utuskan kamu untuk melakukan perkara yang aku
diutuskan oleh Rasulullah untuk melakukan? Kamu hendaklah meruntuhkan
semua berhala dan meratakan semua kubur yang ditinggikan orang."

(Hadith Riwayat Imam Muslim)

07 September 2009

PERISTIWA SEDIH KETIKA RAMADHAN (UNTUK RENUNGAN BERSAMA)

Bersempena sambutan Nuzul Quran, aku nak berkongsi sikit info tentang peristiwa sedih yang berlaku pada Ramadhan. Peristiwa sedih kematian syaidina Ali Bin Abi Talib (R.A)

Ali Bin Abi Talib Bin Abdul Mutalib Bin Hisyam Bin Abdul Manaf adalah nama sebenar beliau. Beliau merupakan kanak-kanak pertama yang memeluk Islam, sehinggakan beliau digelar KARAMALLAHU WAJHAH membawa maksud YANG DIMULIAKAN ALLAH AKAN WAJAHNYA. Ini kerana Syaidina Ali tidak pernah sesekali ia menyembah berhala.

Dari Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda:
AKU ADALAH GEDUNG ILMU DAN ALI ADALAH PINTUNYA. BARANGSIAPA YANG HENDAK MENUNTUT ILMU, MAKA HENDAKLAH MASUK MELALUINYA.
(RIWAYAT TOBRANI)

Tekun menuntut ilmu sehinggakan kitab karangan Beliau NAHJU AL-BALAGHAH digunapakai hingga ke hari ini.


Keberanian Syaidina Ali menggantikan tempat Rasulullah S.A.W di tempat tidur Baginda, ketika dikepung oleh kafir Quraisy amatlah dikagumi. Malah setelah dewasa, beliau sentiasa berada di barisan hadapan dan berani menyahut cabaran 1 lawan 1 di medan peperangan. Beliau menyertai semua peperangan bersama-sama Rasulullah S.A.W, kecuali Perang Tabuk yang mana beliau telah dilantik oleh Rasulullah S.A.W untuk menjadi pemangku Baginda mengetuai Kerajaan Islam.

Beliau telah meninggal dunia pada 17 Ramadhan 40 Hijriah ketika berusia 63 tahun. Beliau telah dibunuh oleh Golongan Khawarij, yang mana pembunuhnya adalah Abdul Rahman Bin Marjan. Jenazah beliau telah disemadikan di Kufah.


   

ALAM SEKITAR TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Salam. Ramadhan Al-Mubarak sememangnya bulan yang mulia. Dalam bulan inilah kita sebagai Muslim dapat merasai serta belajar kepayahan dan kesusahan saudara seagama kita yang lain; yang selama ini tidak dapat merasai kelebihan seperti kita. Bersempena bulan yang mulia ini, kita harus lebih ingat mengingati sesama kita agar yang baik dijadikan sempadan, yang buruk dibuat kain buruk hehehe...

Aku mula terfikir adakah peniaga-peniaga di Malaysia ini mementingkan sangat isu alam sekitar? Aku nak sentuh tentang peniaga-peniaga bermusim di bazar-bazar Ramadhan yang tumbuh bak cendawan bersepah disana-sini mereka lebih menitikberatkan keuntungan maksima semata. Salah ke aku cakap? Lihat sahaja penggunaan plastik serta pembungkus polystrena, tidakkah itu adalah pemandangan biasa bukan sahaja semasa Ramadhan, bahkan setiap minggu di setiap pasar-pasar malam berhampiran anda. Segera dapatkan di pasaran. Aku pelek, adakah kempen pengurangan penggunaan plastik/polystrena yang diwarkan di media-media massa tidak mendapat sokongan dari segenap masyarakat?

Disini aku dapat membuat beberapa konklusi yang mana sememangnya telah ada kesedaran dikalangan masyarakat pengguna tetapi masih belum meluas lagi. Dari pemerhatian aku, kebanyakan respon memberikan alasan bahawa mereka lebih mudah menggunakan barangan yang sedia ada dipasaran berbanding usaha mencari bahan yang lebih mesra alam. Selain itu, alasan malas / sukar untuk membawa pembungkus / alatan seperti mangkok tingkat.

Bagi aku alasan sebegini hanya untuk melepaskan diri mereka dari dipertanggungjawabkan . mereka lebih suka meletakkan tanggungjawab tersebut keatas pihak berkuasa sahaja. Mungkin ada benarnya, ini kerana sekiranya pihak P.B.T membuat undang-undang alam sekitar yang lebih ketat, mungkin akan memberikan jawapan yang lebih positif.

Tidak ke sepatutnya P.B.T yang mengeluarkan lesen, boleh memberikan inisiatif kepada peniaga yang berniaga mengikut piawaian mesra alam sekitar? dengan inisiatif ini, dapatlah memberikan peniaga semangat untuk lebih mesra alam sekitar sebagai permulaan. Setelah itu barulah dikuatkuasakan undang-undang yang lebih tegas kepada peniaga sekiranya mereka masih lagi degil. Tetapi jangan pula selepas ini harga barangan pembungkus itu akan jadi sepertimana harga topeng penutup mulut dan hidung. 

01 September 2009

MUSIM MENGIMPORT

Ramadhan Al-Mubarak telah menghampiri suku kedua kehadirannya pada tahun ini. Banyak masjid di seluruh negara seperti berlumba-lumba menggunakan khidmat Imam yang diimport dari negara-negar Timur Tengah. Aku melihat perkara ini dari berbagai sudut positif dan negatif.

Positif dari segi memeriahkan lagi malam-malam di bulan Ramadhan Al-Mubarak. Ini akan dapat meramaikan lagi kehadiran jemaah menghadiri solat bermula dari Maghrib, Isyak hingga Sunat Tarawikh dan Witeer.Almaklum kebanyakan imam-imam yang diimport itu diwarkan sebagai imam dari masjid-masjid terkemuka seperti Masjid Al Haram, An Nabawi dan banyak lagi. Memberikan impak yang bukan sedikit terhadap jemaah yang menghadiri solat di masjid-masjid ini.

Negatif pula adalah dari segi seolah-olah kita kekurangan orang yang layak dan berkaliber untuk menjadi imam di masjid-masjid ini. Adakah imam yang diimport ini adalah mereka yang terdiri dari sebenar-benar imam seperti yang dinyatakan seperti diiklankan? Bayangkan mereka yang masih muda hingga ada yang baru berusia sekitar awal 20an pun dipanggil untuk mengimami jemaah di masjid-masjid ini.

Pernahkah terfikir bahawa setiap tahun ramai rakyat Malaysia yang berjaya menamatkan pengajian di pusat pengajian terkemuka Islam dunia. Adakah tidak layak mereka ini menjadi imam pada Bulan Ramadhan untuk mengimami jemaah? Apakah telah tidak diiktiraf kini mereka yang graduasi dari IPT seperti Darul Quran di Selangor, MARSAH di Johor, atau hafiz dari berbagai sekolah pondok di serata negara.
  
Tepuk dada tanya iman, jangan hanya kerana mengejar nama mereka ini telah dipinggirkan. Atau seperti pada akhir 80an lalu yang mana kebanyakan masjid di Johor berlumba-lumba memanggil berbagai KIAI dari negara jiran untuk memberikan ceramah. Pada masa tersebut memang "musim" kiai dipanggil, seolah tiada kiai maka kuranglah keceriaan majlis tersebut. Moga selepas ini janganlah terlalu hendak mengikut musim tanpa memikirkan "kera di hutan disusukan, anak dirumah mati kelaparan"

26 Ogos 2009

SINGA, BETUL KE ADA?

Pernah ke terfikir kita nak ubah sejarah? Mungkin ramai yang di antara kita berfikiran andai sejarah lampau kita dapat diubah, mungkin ianya akan dapat menjadikan diri kita lebih baik berbanding sekarang. Andai dapat diubah sejarah, maka sejarah hitam yang membelenggu kita ini yang akan kita ubahkan dahulu.
 
Pertama yang bermain di benak aku adalah benarkah sejarah Singapura sewaktu kedatangan Parameswara dahulu? Benarkah sewaktu kedatangan Baginda ke Temasik dahulu, Baginda benar-benar terserempak dengan seekor singa yang berpura-pura mati? Andai benar dari manakah datangnya singa tersebut ke kawasan Kepulauan Melayu ini?

Persoalan ini bermula apabila aku mengkaji semula geografi kawasan Kepulauan Melayu ini. Andai dinilai semula sistem rantaian makanan, haiwan darat yanag berada di rantaian teratas sekali adalah harimau belang. Sehinggakan harimau yang mendiami kawasan sebelah sini dikenali dengan nama seperti Harimau Malaya dan Harimau Sumatra. Selain itu terdapat kucing-kucing besar yang lain seperti Harimau Kumbang, Kucing Hutan, Harimau Akar dan lain-lain lagi.

Dikaji dari corak pemburuan pula, kawasan Kepulauan Melayu ini lebih memenangkan / memberi peluang survival yang tinggi kepada harimau. Corak mukabumi yang dilitupi hutan tebal lebih memudahkan harimau menghendap (camourflage) ketika  memburu mangsa.

Corak pemburuan singa pula lebih kepada hendap, kejar dan tangkap (hide, chase and catch) pula amat tidak bersesuaian keadaan mukabumi di sini. Dari segi geografi pula, populasi singa banyak terdapat di kawasan tanah gersang seperti padang rumput Sahara di Afrika serta beberapa bahagian di India.

Singa di kawasan seperti disebutkan di atas merupakan penghuni teratas rantaian makanan di kawasan tersebut. Cuba kita bayangkan jika terdapat dua penghuni rantaian makanan teratas berada di satu-satu kawasan yang sama, bagaimana keadaannya? Tentu haru biru jadinya. Dan apakah cuaca di kawasan Kepulauan Melayu ini sesuai untuk singa menghabitatkan diri mereka?


Persoalan lain, adakah terdapat bukti saheh yang disokong oleh kajian ilmiah bahawa terdapatnya singa pada masa 600 tahun dahulu di Singapura? Sekiranya ada sila tunjukan bukti dimana kawasan spesis singa tersebut bertumpu, bagaiman asal datang spesis singa tersebut dan bagaimana singa-singa tersebut boleh mengalami kepupusan. Ini perlu dibuat kerana sekiranya spesis singa pernah wujud di kawasan ini, pasti telah terjadi suatu malapetaka yang mengakibatkan kepupusan spesis tersebut. Ini amat merugikan, seperti yang berlaku terhadap kepupusan Harimau Tazmania di Australia suatu waktu dahulu.


Hendaknya selepas ini kita tidak lagi menjadi Pak Turut sahaja tanpa mengkaji kebenaran sesuatu sejarah itu. 


Andai kata kajian telah dibuat dan ternyata tiada bukti kukuh wujudnya singa di Singapura khususnya dan Kawasan Kepulauan Melayu pada 600 tahun dahulu, Singapura perlu mengkaji semula bagaimana timbulnya nama Singa pada Singapura. Dan sama-samalah kita fikirkan nama apa yang akan di gunakan mereka kelak?


 




25 Ogos 2009

SALAM PEMBUKA KATA

Salam Ramadhan Al-Mubarak untuk semua. Terima kasih sudi meluangkan masa melayari blog yang tak seberapa ini. Bukan niat untuk menyinggung atau mencari kesalahan orang lain dengan menidakan kesalahan diri aku. 
Jangan Takut Makhluk membawa pengertian yang mendalam untuk kita bersama renungi. Selama ini banyak tindakan kita yang terlalu takut pada makhluk yang mana mereka dianggap terlalu dihormati hinggakan tindakan kita itu boleh membawa kepada kekufuran.
Bukan hanya kepada hantu syaithan sahaja yang aku ingin katakan tetapi terhadap semua tindakan kita yang mana dalam sedar atau tidak kita lakukan.
Ada yang takut POLIS,Bendera Parti, Ceramah, Rumah Kosong, Van Mayat, Hospital dan pelbagai lagi. Sedangkan semua itu adalah makhluk ciptaan. Nabi ALLAH ADAM A.S adalah diciptakan untuk menjadi khalifah yang memerintah dunia. Diperintahkan segala Malaikat, Syaithan, Iblis untuk sujud kepadanya. Terbukti yang manusia ini lebih mulia ciptaan berbanding makhluk yang lain. 
Akhirul kata janganlah kita lebih takut pada makhluk lain SELAIN ALLAH S.W.T