01 September 2009

MUSIM MENGIMPORT

Ramadhan Al-Mubarak telah menghampiri suku kedua kehadirannya pada tahun ini. Banyak masjid di seluruh negara seperti berlumba-lumba menggunakan khidmat Imam yang diimport dari negara-negar Timur Tengah. Aku melihat perkara ini dari berbagai sudut positif dan negatif.

Positif dari segi memeriahkan lagi malam-malam di bulan Ramadhan Al-Mubarak. Ini akan dapat meramaikan lagi kehadiran jemaah menghadiri solat bermula dari Maghrib, Isyak hingga Sunat Tarawikh dan Witeer.Almaklum kebanyakan imam-imam yang diimport itu diwarkan sebagai imam dari masjid-masjid terkemuka seperti Masjid Al Haram, An Nabawi dan banyak lagi. Memberikan impak yang bukan sedikit terhadap jemaah yang menghadiri solat di masjid-masjid ini.

Negatif pula adalah dari segi seolah-olah kita kekurangan orang yang layak dan berkaliber untuk menjadi imam di masjid-masjid ini. Adakah imam yang diimport ini adalah mereka yang terdiri dari sebenar-benar imam seperti yang dinyatakan seperti diiklankan? Bayangkan mereka yang masih muda hingga ada yang baru berusia sekitar awal 20an pun dipanggil untuk mengimami jemaah di masjid-masjid ini.

Pernahkah terfikir bahawa setiap tahun ramai rakyat Malaysia yang berjaya menamatkan pengajian di pusat pengajian terkemuka Islam dunia. Adakah tidak layak mereka ini menjadi imam pada Bulan Ramadhan untuk mengimami jemaah? Apakah telah tidak diiktiraf kini mereka yang graduasi dari IPT seperti Darul Quran di Selangor, MARSAH di Johor, atau hafiz dari berbagai sekolah pondok di serata negara.
  
Tepuk dada tanya iman, jangan hanya kerana mengejar nama mereka ini telah dipinggirkan. Atau seperti pada akhir 80an lalu yang mana kebanyakan masjid di Johor berlumba-lumba memanggil berbagai KIAI dari negara jiran untuk memberikan ceramah. Pada masa tersebut memang "musim" kiai dipanggil, seolah tiada kiai maka kuranglah keceriaan majlis tersebut. Moga selepas ini janganlah terlalu hendak mengikut musim tanpa memikirkan "kera di hutan disusukan, anak dirumah mati kelaparan"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pendapat anda